2,500 bendera pada Program Jom Bersama Kibaran Ibu PertiwiKu Satok

KUCHING: Masyarakat kampung dan kawasan sekitar Satok memupuk semangat cintakan Sarawak dan Malaysia dengan menyertai Program Jom Bersama Kibaran Ibu PertiwiKu Satok Edition.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki merasmikan program berkenaan anjuran Kelab Sukan Komuniti Satok (KSK Satok) itu di Kompleks Sukan Satok Padang Slpas, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N8 Satok Samad Gani, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Kelab Sukan Komuniti Satok (KSK Satok), Irwan Zulkarnain Mohd Hasbie, Pengerusi kelab, Iskandar Sharkawi.

Ibrahim Baki berkata, sambutan program amat menggalakkan dengan pengagihan kira-kira 2,500 bendera kepada wakil ketua masyarakat di kawasan berkenaan.

Program dirancakkan dengan aktiviti senamrobik dan kayuhan basikal sejauh 5.2 kilometer (km) yang melibatkan lebih 100 peserta serta aktiviti sampingan seperti cabutan bertuah.

Menurut Ibrahim Baki, program berkenaan bertujuan menyemarakkan kibaran bendera sempena Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai setiap tahun bagi memperingati hari Sarawak diberi kuasa mentadbir sendiri.

“Penganjuran program ini bertujuan mengingatkan masyarakat agar bersama-sama menghayati semangat kenegaraan serta menghargai sejarah Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, sejarah merangkumi pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dan pada 22 Julai tahun yang sama, Sarawak diberi autonomi pentadbiran sebagai langkah awal ke arah kemerdekaan, sebelum pembentukan Malaysia.

“Oleh itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang sejarah serta pengorbanan pemimpin terdahulu yang berusaha gigih sehingga tertubuhnya Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, Irwan Zulkarnain menambahkata,
program berkenaan dianjurkan sebanyak tiga kali, iaitu pada 2003, 2022 dan diteruskan tahun ini sempena Hari Kebangsaan, Hari Sarawak dan Hari Malaysia.