Penantian penduduk Kampung Muhibbah berakhir, projek naik taraf jeti Pending hampir siap

KUCHING: Projek naik taraf Jeti Pending Seberang Kampung Muhibbah di sini,
melebihi 90 peratus siap, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri.

Katanya, projek bernilai RM600,660 itu dijangka disiapkan lebih awal daripada jadual sekiranya keadaan cuaca serta paras air mengizinkan.

“Projek naik taraf bermula Februari lalu dijadual siap pada 24 Ogos ini.

“Jeti baharu ini bakal memberi manfaat kepada penduduk beberapa kampung di seberang Pending dengan memendekkan masa perjalanan, mengurangkan kos bahan api,” katanya.

Nancy berkata demikian kepada media selepas melawat Projek Naik taraf Jeti Seberang Pending Kampung Muhibbah Pending di Pangkalan Jeti Pending Seafood Pelabuhan Kuching, di sini, hari ini.

Menurut Nancy, projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) bagi menggantikan jeti lama yang runtuh 5 September 2023, sekali gus menyediakan kemudahan pengangkutan sungai yang lebih selamat dan selesa kepada penduduk.

Tambahnya, ketika ini, hanya kira-kira 12 hingga 13 meter (m) pembinaan masih berbaki, termasuk menyiapkan dua bahagian tangga.

Tegas Nancy, kontraktor juga diharap dapat mempercepatkan baki kerja agar jeti itu dapat digunakan secepat mungkin.