Rumah usang di Kampung Tellian Tradisi akan dibaik pulih

MUKAH: Projek membaiki rumah usang melalui kaedah gotong-royong bersama komuniti akan digunakan di Kampung Tellian Tradisi di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata projek membaiki rumah Nari Mun itu diuruskan menerusi peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Melalui kaedah gotong-royong bersama komuniti ini, kita mampu menjimatkan kos sekali gus memaksimumkan bajet bagi membaiki lebih banyak komponen rumah yang rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memeriksa status rumah Nari Mun yang usang sepenuhnya di Kampung Tellian Tradisi, di sini.

Sementara itu, Royston Valentine juga mengadakan lawatan ke projek baik pulih kediaman dua keluarga di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) DUN Tellian yang siap sepenuhnya mengikut standard ditetapkan pada Khamis.

Kediaman yang siap tersebut melibatkan rumah Jainah Jana di Kampung Tellian Tengah yang berwajah baharu selepas kerja penukaran atap selesai dilakukan oleh Syarikat Lipia Family Enterprise.

Sebuah lagi ialah rumah Joseph Ahok di Kampung Tellian Tradisi yang turut siap dibaik pulih sepenuhnya pada bahagian lantai beranda dan ruang dalaman oleh Syarikat Sri Mas Jaya Trading.

Dalam lawatan itu beliau juga meninjau rumah Rosly Mapok di Kampung Tellian Ulu yang tertangguh akibat hujan lebat, serta projek bumbung rumah Gelly @ Gilli Luis yang akan bermula tidak lama lagi.