131 unit rumah mampu milik di SPK Daro, dilengkapi kemudahan infrastruktur asas

DARO: Skim Pembesaran Kampung (SPK) di sini yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak secara keseluruhannya bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah melalui peluang ekonomi, kemudahan infrastruktur dan akses kepada pemilikan aset seperti rumah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi SPK itu, kerajaan turut memberi penekanan kepada pendidikan, teknologi dan inovasi termasuk usaha memperkenalkan kaedah pertanian moden seperti penanaman padi baharu yang lebih produktif melalui kerjasama antarabangsa.

Dengan pembangunan infrastruktur yang telah dilaksanakan, pembangunan Daro kini dapat dikaitkan secara langsung dengan pertumbuhan ekonomi, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Skim Pembesaran Kampung (SPK) Lemang Pek, Kampung Tengah, Kampung Pantray Fasa 1, Daro, hari ini.

Premier Sarawak turut merasmikan Program RECIT di Kampung Tebaang dekat sini.

Abang Johari berkata, keperluan menyediakan skim perumahan menjadi keperluan memandangkan ramai anak Daro bekerja di luar kawasan.

Namun, dengan adanya kemudahan jalan raya yang menghubungkan Daro ke Sibu dan kawasan lain, beliau berkata, mereka kini berpeluang untuk memiliki rumah di kampung sendiri kerana kerajaan menyediakan rumah mampu milik.

“Hari ini, kita berada di kawasan Kampung SPK yang terletak di tengah-tengah kampung pantai Daro. Projek ini melibatkan pembangunan sebanyak 131 unit kediaman berserta kemudahan lain.

”Sebagai permulaan, kita membina 59 unit rumah mampu milik. Jika dinilai secara keseluruhan termasuk tanah dan utiliti, harga rumah ini boleh mencecah sekitar RM300,000. Namun, melalui inisiatif kerajaan, kos yang perlu ditanggung pembeli hanyalah sekitar RM150,000, kerana kos tanah dan infrastruktur ditanggung kerajaan.

“Selain itu, kerajaan turut menyediakan bantuan deposit sebanyak RM10,000, menjadikan baki pinjaman hanya sekitar RM140,000. Pinjaman ini ditawarkan melalui skim khas dengan kadar faedah rendah sekitar 1%, dan boleh dibayar dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.

“Ini bermakna, bayaran bulanan adalah sekitar RM200 hingga RM250 sahaja, menjadikan pemilikan rumah lebih mampu milik,” katanya.

Rumah itu, tambahnya, juga direka dengan konsep pra-reka bentuk, yang membolehkan pemilik membuat pengubahsuaian pada masa hadapan, seperti menambah ruang atau tingkat tambahan apabila mempunyai kemampuan kewangan.

Menurut Premier Sarawak, pendekatan ini merupakan dasar baharu kerajaan dalam penyediaan perumahan luar bandar, iaitu konsep “site and services” dengan rakyat memiliki lot tanah dan rumah asas dengan kos permulaan yang rendah.

Selain di Daro, katanya, projek perumahan itu juga akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain seperti Mukah, Matu dan kawasan sekitarnya, bergantung kepada permintaan.

Kerajaan turut menawarkan pilihan pemasangan sistem solar dengan kos sekitar RM29,000, namun, kerajaan menanggung 50% kos tersebut, menjadikan tambahan kos sekitar RM15,000 sahaja, tegas beliau.

Melalui sistem ini, lebihan tenaga elektrik boleh dijual kepada SESCo, sekali gus membolehkan pemilik rumah menjana pendapatan dan mengurangkan bil elektrik bulanan, katanya.

Dari segi infrastruktur, beliau berkata, kerajaan juga memberi perhatian kepada pembinaan jalan akses, termasuk cadangan jalan baharu yang akan meningkatkan hubungan ke kawasan strategik serta membuka potensi pelancongan.

Pembangunan itu, tambahnya, bukan sahaja meningkatkan akses pasaran bagi hasil kampung, malah membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kemiskinan luar bandar.