Mangsa kebakaran Rumah Jangi Jambai dinasihat mohon penempatan sementara PPR Bandaria Park

BINTULU: Mangsa kebakaran Rumah Panjang Jangi Jambai diminta memohon penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria Park.

Dalam insiden Rabu lalu, tiga daripada 24 pintu rumah panjang itu musnah dalam kebakaran di Jalan Ulu Sebauh, di sini, kira- kira jam 5 petang

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata permohonan dikemukakan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) sekiranya masih terdapat kekosongan unit di PPR Bandaria Park.

“Saya akan menyediakan surat sokongan bagi membantu mempercepatkan proses permohonan tersebut supaya keluarga yang terjejas mempunyai tempat tinggal sementara yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa turun padang menziarahi dan menyampaikan sumbangan serta bakul makanan kepada keluarga yang terjejas serta menyelaras bantuan bersama agensi berkaitan.