Parti PBB benteng pertahankan kepentingan Sarawak

DEBAK: Rakyat Sarawak bertuah kerana memiliki kepimpinan yang sentiasa berusaha membangunkan negeri tanpa mengabaikan kebajikan dan kepentingan rakyat, kata Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Parti PBB membolehkan pelbagai agenda pembangunan dilaksanakan secara berterusan, sekali gus membawa kemajuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Menurutnya, kejayaan itu dicapai hasil kestabilan politik yang menjadi asas penting kepada pelaksanaan dasar dan perancangan pembangunan negeri secara konsisten serta berkesan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh ahli parti supaya terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama dalam menghadapi cabaran yang semakin mencabar demi memastikan perjuangan parti terus relevan.

“Kekuatan Parti PBB bergantung kepada kesepaduan semua sayap parti yang merangkumi pergerakan wanita, pergerakan pemuda dan belia untuk bergerak seiring memperjuangkan kepentingan Sarawak.

“Marilah kita bersatu untuk membina masa depan yang lebih cerah. Parti PBB mesti terus menjadi benteng yang mempertahankan kepentingan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Parti PBB Cawangan Saribas di Dewan Perpaduan, Debak, hari ini.

Awang Tengah berkata, Parti PBB perlu terus memainkan peranan sebagai tulang belakang GPS dan memastikan gabungan itu terus diberi mandat mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kita tiada pilihan selain memastikan apabila tiba PRN nanti, GPS di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terus diberi mandat membentuk kerajaan,” katanya.

Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, semua ahli parti tanpa mengira peringkat perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi memastikan perjuangan parti terus kukuh serta mampu memenuhi aspirasi rakyat.

Beliau menegaskan, Kerajaan GPS akan terus mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat di samping mempercepat pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial di seluruh negeri.

Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 1,000 ahli parti memenuhi Dewan Perpaduan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan sokongan padu terhadap kepimpinan PBB serta GPS.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam; Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; ADUN Beting Maro, Datuk Razaili Gapor serta ADUN Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir.