Hargai pengorbanan penjawat awam, Sarawak bakal laksana pelarasan gaji

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik sekali gus turut melaksanakan pelarasan gaji untuk penjawat awam Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini selepas Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji melebihi 13 peratus untuk penjawat awam Persekutuan mulai Disember tahun ini.

“Ini kerana Kerajaan GPS sangat menghargai komitmen dan pengorbanan seluruh penjawat awam Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, buat masa ini, pihaknya sedang menjalankan kajian terperinci mengenai pelarasan ini agar lebih kompetitif selaras tugas dan tanggungjawab penjawat awam Sarawak serta kekuatan kewangan Kerajaan Sarawak.

“Saya akan mengumumkan hasil kajian ini dalam tempoh terdekat tertakluk kepada perincian pelarasan gaji yang akan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.