KUCHING: Elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak yang menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dinaikkan kepada RM450 sehari berbanding RM50 sehari sebelum ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, peningkatan elaun itu setara dengan elaun diterima Ahli Parlimen yang menghadiri Persidangan Dewan Rakyat yang menerima RM400 sehari.
Katanya, jumlah elaun ADUN itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar kepadanya sebelum ini.
“Persidangan DUN Sarawak bersidang sepanjang lapan hari dengan dua sesi yang menjadikan jumlah elaun yang perlu dibayar lebih kurang setengah juta.
“Sarawak mempunyai hasil yang mencukupi bagi membayar elaun bagi ADUN untuk tempoh 16 hari yang bersidang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Malam Backbencher Gabungan Parti Sarawak di Kuching malam tadi.
Menyentuh mengenai pelarasan kenaikan gaji, Abang Johari berkata ia tertakluk kepada keputusan terakhir Kerajaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan negeri memerlukan butirannya agar semakan gaji dapat diselaraskan dengan Kerajaan Persekutuan.
Namun beliau memberi bayangan kenaikan gaji untuk penjawat awam Sarawak mungkin akan lebih baik berbanding Kerajaan Persekutuan.
Turut hadir isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta isteri Datin Amar Enn Ong Siok Ean, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ketua Whip DUN GPS Dato Ibrahim Baki serta barisan tertinggi GPS lain.
