Institut latihan pelaut perlu miliki kemudahan moden

SIBU: Jabatan Laut Malaysia akan memastikan program latihan pelaut kekal relevan selari keperluan industri dan diiktiraf peringkat nasional serta antarabangsa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dickson Dollah berkata sehubungan itu, institut latihan pelaut perlu memiliki kemudahan moden dan menggunakan teknologi dalam latihan.

“Penggunaan teknologi dalam latihan seperti simulasi amat diperlukan bagi melahirkan pelaut yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran sebenar di laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Institut Latihan TCCS Marine Sdn Bhd dan pelancaran Pusat Simulasi, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Tamat Kursus Pegawai Jurutera bagi Pengawasan Kejuruteraan 750 kW atau lebih bagi Pelayaran Persisiran, Pegawai bagi Pengawasan Pelayaran 500 GT atau lebih bagi Pelayaran Persisiran, serta Nakhoda dan Ketua Mualim bagi kapal 3,000 GT atau lebih bagi Pelayaran Persisiran.