BINTULU: Telekomunikasi, vandalisme, bekalan air dan elektrik dikenal pasti antara isu utama yang menghantui rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, isu terbabit di setiap kawasan juga akan dilaporkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari.
“Yakinlah bahawa semua perkara ini sampai cepat kepada Premier Sarawak,” katanya semasa program Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bersama Komuniti @ Kuala Tatau 2024, di sini, hari ini.
Abdullah Saidol sehubungan itu berkata, antara tugas Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) untuk memantau dan ‘memasang’ mata dan telinga berhubung keluhan dan keresahan masyarakat.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Haji Ismail, Kampung Nour Iman, Kampung Seberang Jaya, Kampung Dagang Tatau dan Kampung Hilir.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, Pengarah UKAS, Samuel Simon dan Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, Fred Entau.
