Jambatan Sebauh siap Disember 2025

BINTULU: Kerja-kerja pembinaan jambatan merintangi Sungai Kemena, Sebauh di sini berjalan lancar dengan 3.64 peratus mendahului jadual.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan terbabit kini siap 9.03 peratus dan menzahirkan rasa puas hati dengan perkembangan kemajuannya.

Jambatan sepanjang 728.56 meter (m) berharga RM74,893,670.00 itu dijadual siap pada Disember 2025, katanya selepas melawat tapak pembinaan jambatan berkenaan di sini, semalam.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berharap kontraktornya, Hartatanah Construction dan Development Sdn Bhd/ dapat menyiapkan jambatan berkenaan lebih awal iaitu sebelum sambutan Hari Krismas atau lebih awal.

Beliau yakin jambatan itu dapat disiapkan lebih awal berdasarkan pencapaian kemajuan kontraktornya setakat ini.

Tanpa berhadapan dengan isu berkaitan dengan tenaga kerja dan bahan binaan, beliau berharap kontraktornya akan menggunakan musim panas bulan depan untuk mempercepatkan tempo pembinaan jambatan itu.

Jambatan itu terdahulu dikategorikan sebagai projek sakit dan jadual siap terlewat tiga tahun.

Kerajaan terpaksa menamatkan khidmat kontraktor terdahulu sungguhpun berjaya menyiapkan 50.61 peratus kerja pembinaannya.

Hartanah Construction and Development Sdn Bhd., sebagai kontraktor penyelamat meneruskan kerja pembinaannya pada Disember tahun lalu dan diberi tempoh selama 24 bulan untuk menyiapkan projek terbabit.

JKR Bahagian Bintulu diberikan tanggungjawab untuk membantu memantau projek itu

Uggah ditemani Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom yang juga ADUN Kemena dan Pengarah JKR, Datu Richard Tajan.