LAWAS: Kepesatan teknologi hari ini menuntut masyarakat menguasai ilmu pengetahuan terkini agar dapat bergerak seiring dengan perubahan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, teknologi berkembang dengan amat pesat dan Sarawak juga pesat dalam perjalanan pembangunan teknologinya.
Katanya, Sarawak sudah bergerak jauh dalam ekonomi digital namun rakyat negeri ini akan tertinggal jika mereka tidak menguasainya.
“Untuk maju ke depan kita harus menguasai ilmu, mempunyai minda kuat dan mempunyai semangat untuk rajin bekerja dalam melakukan sesuatu dengan bersungguh sungguh, amanah, integriti, tidak kira siapa pun kita dan apa kerja kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Rahmah Madani dan Forum Perdana Ehwal Islam di Dataran Tebingan Sungai malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menambah, rakyat Sarawak harus mengekalkan semangat kesepaduan, kerjasama, hormat-menghormati antara satu dengan yang lain agar dapat hidup dalam harmoni.
Menurut beliau, perpaduan adalah landasan kepada kestabilan dan mengukuhkan keharmonian dan keselamatan negeri.
“Kita tidak akan maju jika tiada kestabilan dan ia amatlah penting untuk kita mempertahankan kestabilan dan keharmonian untuk kita terus bersatu,” katanya.
Turut hadir isteri Datuk Amar Awang Tengah, Dato Dayang Morliah Awang Daud, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hassan, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.
