SONG: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi meminta pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat pemantauan pergerakan tanah di lokasi jalan runtuh secara berterusan.
Katanya, ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Dari tinjauan banjir di Kuching, pagi ini saya turun ke lokasi tanah runtuh di Jalan Song-Temalat-Kanowit di Kapit.
“Memang keadaan di sini agak teruk disebabkan tanah yang runtuh selepas hujan tidak berhenti di kawasan ini sejak beberapa hari lalu,” katanya dalam Facebook, semasa mengadakan tinjauan ke lokasi kejadian tanah runtuh.
Ahli Parlimen Kapit juga berkata, kerja-kerja pembaikan juga perlu dilaksanakan segera disebabkan laluan ini merupakan antara laluan utama pengguna jalan raya di sini.
“Buat sementara, laluan lencongan disediakan untuk kegunaan kenderaan kecil dan ringan.
“Saya juga telah meminta papan tanda dan arahan lalu lintas di kawasan lencongan diletakkan dengan jelas demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Terima kasih kepada semua pasukan yang terlibat dalam mengambil tindakan pantas di kawasan terkesan bencana di sini,” katanya.
