Jentera parti cawangan jadi mata, telinga kerajaan – Uggah

BINTULU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di setiap cawangan perlu memainkan peranan penting dalam mengetahui aktiviti pembangunan yang dijalankan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia susulan setiap jentera parti mampu menjadi mata dan telinga kerajaan bagi membantu menyampaikan di peringkat akar umbi mengenai projek dan bantuan yang telah, sedang dan bakal dijalankan.

“Ini kerana, Sarawak terus pesat membangunan dengan pelbagai projek-projek pembangunan terutamanya melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.

“Ia sebagai usaha memastikan rakyat akan menikmati kemakmuran ekonomi dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Ngabang Gawai Begulai Enggau Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, semalam.

Uggah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB berkata, ilmu pengetahuan serta kemahiran penting pada zaman teknologi kini untuk mempertingkatkan taraf hidup dan ekonomi sebuah keluarga. 

“Peranan guru-guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) penting dalam pendidikan anak-anak sehingga mereka berjaya,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut, Uggah serta Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit mengumumkan peruntukan masing-masing sebanyak RM30,000 dan RM20,000 kepada Cawangan PBB Kakus. 

Selain itu, turut disampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada SK Iban Union, SK Sungai Bawang, SK Sungai Anak, SK Ulu Arip, SK Sungai Tau dan SK Tatau.

Manakala, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta turut menyampaikan cek MRP kepada SMK Tatau sebanyak RM34,000.