Ambil jurusan sesuai dengan kelayakan

MUKAH: Pelajar dinasihat supaya memilih institusi pengajian tinggi (IPT) yang sesuai mengikut kelayakan dan kemampuan selepas tamat tingkatan lima dan enam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, pelajar perlu melihat kelayakan diri semasa membuat keputusan yang akan mempengaruhi masa depan mereka.

“Jika ada pelajar yang ingin melanjutkan pelajar di luar Mukah, pastikan tidak membebankan ibu bapa kerana terdapat banyak IPT berada di Mukah seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah, Politeknik Mukah (PMU) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Guru, Hari Pekerja dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Gawai 2024, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, Mukah baru-baru ini.

Royston turut menyerahkan geran sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Three Rivers dan berharap agar kerjasama berpanjangan.