KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan menyalurkan bantuan bencana kepada keluarga insiden kebakaran yang meragut nyawa seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) berusia 12 tahun di Kota Sentosa, semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya kini sedang mengkaji jenis bantuan bersesuaian yang akan disalurkan kepada keluarga mangsa.
“Kementerian kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Fatimah, JKM juga akan menyediakan bantuan psikologi untuk membantu keluarga mangsa yang berdepan dengan tragedi itu selain bantuan bencana.
“Pakar kaunselor JKM sedia untuk memberikan bantuan psikologi dan intervensi krisis.
“Kami berharap bantuan komprehensif ini dapat membantu keluarga mangsa untuk mengharungi kejadian tragis ini,” tambahnya.
Terdahulu, JKM menyumbang bantuan bencana berupa pek kelengkapan tidur, bantuan wang saku, bantuan pakaian dan peralatan sekolah serta bantuan bencana binaan berjumlah RM5,000.
