1,300 atlet sertai SUKSAR Edisi Ketiga

SIBU: Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi Ketiga 2023 akan diadakan mulai 15 hingga 18 Januari ini, di sini.

Residen Bahagian Sibu, Datu Wong Hie Sieng berkata, lebih 1,300 atlet dari tiga zon di Sarawak akan berentap dalam 13 acara sukan tersebut. Mereka akan tiba di perkampungan sukan Desa Sanyan di sini pada 13 Januari ini.

Katanya, perasmian SUKSAR Ketiga akan dilakukan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 15 Januari ini.

“Majlis penutupan pula akan dilakukan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 Januari ini di Stadium Tertutup Sibu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebanyak 13 acara dipertandingkan antaranya ialah berbasikal, angkat berat, bola tampar, bola keranjang, futsal, sepak takraw, hoki, wushu, taekwando, tinju, judo, karate dan silat.