SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak melalui Pejabat Daerah Sri Aman menyalurkan dana berjumlah 5,000 kepada Kampung Tanjung Engkabang di sini.
Ketua Kampung Tanjung Engkabang, Mohamad Yusup berkata, dana itu bagi melaksanakan program Insentif Tadbir Urus Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Ia dibahagi kepada tiga kategori urus tadbir iaitu pengurusan JKKK, keceriaan dan kesejahteraan.
Katanya, peruntukan kategori pengurusan JKKK berjumlah RM1,000 untuk membeli rak fail, kertas A4, pemacu pena dan sebagainya.
“Urus tadbir kedua iaitu keceriaan yang memperuntukkan sebanyak RM2,000 untuk membeli mesin rumput, kanopi biru, peniup udara, tangki penyembur racun, troli dan mengadakan demo masakan kuih muih serta klinik ping pong,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusup berkata, kategori kesejahteraan pula dengan peruntukan berjumlah RM2,000 bagi membeli alat bagi mengadakan program gotong-royong kampung.
