Kemudahan feri Nanga Tulie perkukuhkan luar bandar

KAPIT: Projek pembinaan dan penyiapan kemudahan feri Nanga Tulie di sini dijangka memberi manfaat kepada penduduk tempatan khususnya dari segi mobiliti, ekonomi dan sosial.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan projek itu merupakan inisiatif kerajaan bagi memastikan keterhubungan antara kawasan luar bandar dan bandar terus diperkukuh.

Katanya, Nanga Tulie merupakan laluan penting menghubungkan komuniti di tebing Batang Rajang dan pelaksanaan projek feri tersebut dijangka memudahkan pergerakan penduduk.

“Apabila siap kelak, perkhidmatan feri ini mampu membawa sehingga 24 kenderaan pada satu masa sekali gus menjadikan perjalanan rentas sungai lebih selesa, selamat dan efisien.

“Ia juga akan membantu merancakkan aktiviti ekonomi tempatan serta memudahkan urusan penghantaran barangan, hasil pertanian dan keperluan harian,” katanya pada majlis pecah tanah projek berkenaan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata kerajaan komited memastikan pembangunan infrastruktur asas di luar bandar, khususnya di Sarawak, terus diberi keutamaan.

“Kita mahu rakyat di pedalaman seperti Kapit menikmati kemudahan infrastruktur yang setara dengan kawasan bandar, sejajar dengan prinsip ‘Tiada Rakyat Ditinggalkan’.

“Selain projek feri ini, beberapa projek jalan dan jambatan lain juga sedang dirancang atau dilaksanakan di Bahagian Kapit bagi memperkukuh jaringan pengangkutan darat dan air,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepada pihak kontraktor, Rambungan Maju Sdn Bhd, agar melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab, menepati jadual serta mematuhi kualiti dan spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.