Kontinjen Johor pesaing utama rebut kejuaraan SUKMA XXI

JOHOR BAHRU: Juara bertahan, Kontinjen Negeri Johor dijangka akan memberikan saingan sengit kepada negeri lain pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak 2024 dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Ramalan itu disuarakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kerana mengambil kira kejayaan pasukan itu memenangi edisi SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.

“Untuk SUKMA kali ini, kita akan lihat kepada (kontinjen) Johor kerana kejayaan cemwrlang mereka pada SUKMA yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengetuai delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI 2024 Sarawak melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor, Dato Onn Hafiz Ghazi di Bangunan Dato Ja’afar Muhammad, Johor Bahru.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Datu Felicia Tan, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick serta ketua-ketua kerajaan negeri yang lain.

Dalam pada itu katanya, SUKMA XXI Sarawak 2024 bakal menjadi yang terbesar dalam sejarah penganjurannya.

Menyifatkannya lebih besar dari temasya Sukan Olimpik, beliau berkata lebih 12,000 atlet akan berkampung di sembilan bahagian negeri untuk menyertai 37 sukan dipertandingkan.

Katanya, sebanyak 13 negeri termasuk Wilayah Persekutuan dan Negara Brunei telah mengesahkan penyertaan untuk bersaing dalam 484 acara sukan.