KUCHING: Kerajaan akan terus memantau paras empangan di seluruh negara berikutan cuaca panas dan kering melanda ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini bagi memastikan bekalan air mencukupi dan secara keseluruhan ketika ini paras air di empangan terbabit masih terkawal dan boleh bertahan sekurangnya 90 hari.
“Situasi paras empangan adalah baik bagi tempoh 90 hari lagi dan kita jangka keadaan cuaca ini akan tamat sehingga pertengahan April,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Madani, di Masjid Darul Naim, Kampung Gita Lama, di sini, hari ini.
