MIRI: Sebanyak RM1.08 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf serta menggantikan saluran paip yang lama di seluruh negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu bagi memperkasakan sistem bekalan air di Sarawak.
Katanya, dengan liputan air di seluruh negeri sudah hampir mencecah 90 peratus, maka paip-paip yang lama ini perlu ditukar.
“Saya meminta Dato Sri Julaihi Narawi meneruskan pelaksanaannya. Saya akan mencari peruntukan untuk menaik taraf bekalan air kita,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Taman Jelita di Miri, malam tadi.
Masjid baharu itu dikenali Masjid Jamal Ad-Din yang bermaksud ‘Kecantikan Dalam Agama’, mampu menampung sekitar 1,050 jemaah.
Beliau turut mengumumkan dana kira-kira RM4 juta untuk menambahkan kemudahan di masjid berkenaan termasuk penyediaan van jenazah, fasiliti akad nikah serta ruang untuk pengurusan jenazah.
Selain itu, Abang Johari menyempurnakan penyampaian dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM395,000 kepada 23 masjid dan surau serta 16 gereja dan chapel di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir.
Sumbangan duit raya kepada anak-anak Peryatim dari Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup turut diadakan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat.
GAMBAR:JABATAN PREMIER
