KOTA SAMARAHAN: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) landasan bagi mengukuhkan keupayaan dan persediaan negeri ini bagi menghadapi penularan wabak penyakit.
Mengambil iktibar penularan Covid-19 2020, SIDC akan menjadi benteng Sarawak sebagai pusat pembangunan bioterapeutik dan vaksin.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, selain selari dengan inisiatif Sarawak dalam pembangunan bioterapeutik dan vaksin, matlamat SIDC untuk meningkatkan keupayaan dalam mengesan dan bertindak balas terhadap wabak penyakit berjangkit di peringkat global.
Apabila siap kelak, pusat itu mampu mengukuhkan keupayaan penyelidikan untuk membangunkan diagnostik, terapeutik dan vaksin serta memudahkan tindak balas yang berkesan di peringkat negeri mahupun tempatan semasa dilanda wabak.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan tapak SIDC kepada kontraktor di Kota Samarahan, semalam.
Tapak pembinaan SIDC yang terletak bersebelahan Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan akan mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan.
