MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membuka pintu kepada pemimpin golongan belia untuk memastikan parti itu terus kekal relevan.
Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana belia dan pemuda merupakan pemimpin pelapis parti itu pada masa hadapan.
“Kita ada pemuda (Sayap Pemuda) dan kita ada belia (1828) usia sampai 28 tahun dan mereka ini boleh mengundi.
“Maka, mereka ini dilatih dan boleh naik ke peringkat seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Zon Utara Parti PBB di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya adakah pelapis-pelapis parti sudah bersedia, Abang Johari menjelaskan mereka sudah bersedia.
“Saya fikir pelapis kita dah sedia, dan kami yang ada atas ini … saya tahu umur saya, kerana anda tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kerana apabila masa anda tamat, maka kita memerlukan pelapis.
“Kita mesti memberi latihan kepada pemuda. Dan saya fikir apa yang penting parti (PBB) mesti terus kekal relevan,” katanya.
Ketika ditanya tentang ada pihak yang mencemburui Sarawak, Abang Johari memberitahu ia adalah lumrah manusia.
“Ia adalah lumrah dan sangat general (umum) kalau mungkin juga orang tidak suka kita. Ada juga mungkin tidak mahu parti itu kuat sangat.
“Perjuangan kita ikhlas dan kita hendak membawakan perubahan kepada parti.
“Jadi, kita setia dengan parti dengan semangat perpaduan yang kukuh untuk melaksanakan segala perancangan pembangunan.
“Allahamdulilah. Kita ada kerjasama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita juga bekerjasama dengan Kerajaan Pusat,” katanya.
