12 resolusi dari Zon Utara

MIRI: Sebanyak 12 resolusi diterima dari 18 Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara pada mesyuarat perwakilan zon tersebut yang berlangsung di sini, hari ini.

Resolusi tersebut dibaca Naib Yang di-Pertua Kanan Parti yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Zon Utara, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Resolusi tersebut:

  1. Memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertua Parti dan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
    untuk kekal sebagai Yang di-Pertua Parti PBB tanpa dipertandingkan.
  2. Mencadangkan agar kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan.
  3. Mencadangkan agar kedua-dua Naib Yang di- Pertua Kanan Parti PBB, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Dato’ Sri Dr Stephen Rundi dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan.
  4. Memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada kepimpinan PBB dan GPS untuk memastikan hak-hak istimewa Sarawak yang Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, MA63 dan Laporan IGC dipatuhi:
    a. Penambahan bilangan kerusi bagi Sarawak dan Sabah kepada 35% daripada jumlah kerusi Parlimen Malaysia.
    b. Hak Sarawak ke atas Pelantar Benuanya dihormati oleh semua pihak termasuk syarikat-syarikat yang beroperasi di Sarawak.
  5. Memastikan bahawa status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepimpinan GPS dan Kerajaan Sarawak untuk kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan yang lestari serta memperkukuh perpaduan antara pelbagai etnik, agama dan budaya, demi memastikan masyarakat hidup aman, damai dan harmoni.
  6. Menyokong penuh rancangan Kerajaan untuk;
    a. menjadikan kawasan Utara Sarawak sebagai satu lagi kawasan jelapang padi, pusat penternakan dan akuakultur
    b. Penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport hasil pertanian menjelang tahun 2030.
  7. Menggesa Kerajaan Sarawak dan Persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan di kawasan Utara, antaranya;
    a. pembinaan Jalan Raya Pantai Utara (Northern Coastal Highway), Jalan Lintas Sabah-Sarawak termasuk menaik taraf jalan-jalan balak dan jambatan di pedalaman,
    b. membina Lapangan Terbang Lawas dan menaik taraf Lapangan Terbang Miri, Limbang dan di luar bandar,
    c. menaiktaraf pelabuhan Miri,
    d. mempercepatkan pembaikan, menaik taraf, dan membina semula sekolah-sekolah, klinik-klinik, dan kemudahan berkaitan yang daif terutamanya di kawasan luar bandar,
    e. memperluaskan liputan telekomunikasi, bekalan air bersih dan bekalan elektrik, ini akan menjadi “game changer” kepada pembangunan Kawasan Utara Sarawak.
  8. Menjadikan Kawasan Utara sebagai hub pelancongan dengan memanfaatkan pengiktirafan Taman Negara Mulu & Taman Negara Niah sebagai tapak warisan UNESCO, kepelbagaian budaya dan keindahan alam semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna termasuk Usun Apau, Gunung Buda dan Gunung Murud.
  9. Mendengar rintihan rakyat mengenai ketidakmampuan memiliki rumah, maka kita menggesa kerajaan untuk menambah projek perumahan Spektra dan mampu milik serta menambah peruntukan bagi pinjaman pembinaan rumah panjang.
  10. Untuk mengekalkan kehidupan beragama yang harmoni kita menyokong pemerkasaan peranan institusi keagamaan seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan UNIFOR.
  11. Mempercepatkan pengambilalihan Affin Bank dan MASWings.
  12. Mencadangkan agar Kerajaan terus memperkukuhkan Kawasan Utara, sebagai hub pengeluaran minyak dan gas Sarawak dan pembangunan Industri hiliran.

“Maka dengan ini, kami sekali lagi menekankan bahawa kami warga PBB Zon Utara akan sentiasa beridiri teguh bersama kepimpinan YAB Yang di- Pertua Parti PBB,” katanya.

Mesyuarat tersebut dirasmikan Yang di-Pertua Parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.