Perarakan Gawai serlah semangat Segulai Sejalai

KUCHING: Perarakan Gawai 2024 yang melakar sejarah sebagai terbesar dari segi penyertaan berjaya menyerlahkan konsep ‘Segulai Sejalai’ selain mengetengahkan kebudayaan kaum Dayak di negeri ini.

Perarakan tersebut menyaksikan sebanyak 110 kontinjen membabitkan penyertaan 3,300 peserta berarak sejauh 1.3 kilometer (km) bermula dari Bangunan Tun Jugah dan berakhir di pentas utama di Tebingan Sungai Kuching petang tadi.

Komuniti yang terlibat ialah Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, Kadazan Dusun daripada Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak dan agensi-agensi kerajaan Sarawak.

Komuniti Iban menghantar penyertaan paling besar sebanyak 38 kontinjen diikuti komuniti Bidayuh sebanyak 25 kontinjen, komuniti Orang Ulu sebanyak tujuh kontinjen dan Kadazan Dusun dengan tiga kontinjen.

Perarakan diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut diringi Timbalan-Timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta dif-dif kenamaan yang lain.

Terdahulu, Temenggong Bidayuh Bahagian Kuching, Atok Derop telah mengadakan upacara ‘Pisien’ di Bangunan Tun Jugah bagi memohon keberkatan acara tersebut.

Hujan lebat kira-kira jam 3.15 petang tidak mematahkan semangat peserta untuk meneruskan perarakan yang unik itu.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perarakan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 Billy Sujang, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata.