KUCHING: Pesta Telaga Air di Kampung Telaga Air yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik.
Pesta Telaga Air dianjurkan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Kampung Telaga Air dan Majlis Perbandaran Padawan.
Ia mendapat sokongan padu daripada pejabat Pusat Khidmat DUN N.4 Pantai Damai dan Pusat Khidmat Masyarakat P.193 Santubong.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Telaga Air 2024, Kr Sebeki Jen memberitahu, pelbagai acara disusun dan akan disertai oleh penduduk kampung sehingga Ahad ini.
Antaranya ialah pertandingan Kiosk Berhias dan Forum Perdana Ehwal Islam yang akan diadakan di pentas utama Kampung Telaga Air yang akan bermula selepas solat fardhu Isyak.
Forum Perdana Ehwal Islam akan menampilkan dua ahli panel iaitu mantan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad dan Pengurus Sektor Dakwah Hikmah, Sarbini Dahlan manakala Pengerusi Sahabat Amal Care Sarawak, Wan Lukmanhakim Wan Sajali sebagai Moderator, katanya.
Sebeki memberitahu, acara lain ialah Pertandingan Memancing, Petanque, Karaoke, Gendang Melayu Sarawak – Bertandak , Pertandingan Mewarna kanak – kanak dan dewasa, Poco-poco Kreatif, Pentarama daripada Jabatan Penerangan Malaysia, Pertandingan Pakaian Beragam kanak – kanak dan E – sports.
Menurutnya, program dijangka dirasmi Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
