KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC Sarawak) menyantuni seramai 84 kanak-kanak dari Kompleks Kebajikan Datuk Amar Hajah Laila Taib di sini, malam tadi.
Mereka disantuni di majlis berbuka puasa dan solat berjemaah bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Majlis itu juga program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEDC Sarawak dan kanak-kanak terbabit menerima sumbangan duit raya dan barangan kelengkapan sekolah.
Sebelum itu, majlis juga menyaksikan pertukaran surat rasmi kerjasama antara SEDC dan Tabung Baitumal Sarawak seterusnya SEDC Sarawak menyerahkan zakat perniagaan kepada Tabung Baitumal Sarawak berjumlah RM600,000.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Pengerusi SEDC Sarawak, Tan Sri Abdul Aziz Dato Husain dan Pengurus Besar SEDC Sarawak, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir.
