KUCHING: Masyarakat harus mengambil inisiatif mempelajari teknik pencegahan kebakaran terutamanya langkah awal apabila berlakunya kebakaran, gesa Timbalan Premier Sarawak.
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, antara teknik pencegahan kebakaran itu ialah apa yang harus dilakukan terlebih dahulu.
“Setiap masyarakat bertanggungjawab meningkatkan kesedaran pencegahan kebakaran di kawasan kediaman sebagai usaha mengurangkan risiko tidak diingini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Hari Raya 2024 di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, di sini.
Dr Sim menegaskan, dengan adanya ilmu pencegahan dan langkah mengawal kebakaran, ia dapat menyelamatkan nyawa penghuni apabila berlakunya kebakaran.
“Kita tidak mahu masyarakat terus menerus menyalahkan pihak bomba apabila mereka mengambil masa ke lokasi sedangkan api semakin marak,” katanya.
Dalam pada itu, Sim turut memuji usaha Bomba Sarawak yang berterusan melancarkan kempen sedemikian pada setiap musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, beliau menyampaikan anugerah ‘Wira Anggota Bomba’ kepada 20 anggota bagi menghargai usaha mereka dalam memadam dan mengawal kebakaran dengan berkesan.
Penerima anugerah terdiri daripada dua anggota yang memadamkan kebakaran Sistem Pejabat Babylon, 11 anggota Pasukan Respons Kecemasan (ERT) yang berjaya memadam kebakaran turbin Balai Bomba Sejingkat, enam anggota yang memadamkan kebakaran rumah panjang Nanga Miau di Song dan seorang individu yang terlibat dalam usaha pemadaman kebakaran di sebuah rumah panjang di Ulu Sungai Malim, Sibu.
Turut hadir Pengarah Bomba Sarawak, Datu Khirudin Drahman dan Timbalan Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii.
