KUCHING: Pemerkasaan bidang kuasa Mahkamah Syariah oleh Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak mendapat respon positif daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi, Tun Dr Wan turut berkongsi cadangan ke arah pemerkasaan mahkamah syariah dari konteks perundangan.
Katanya, pelantikan Tun sebagai TYT Sarawak menzahirkan kesinambungan agenda pemerkasaan undang-undang syariah.
“Antara objektif utama kita untuk memaklumkan kepada belkau berhubung tugas organisasi, tugas kehakiman Sarawak yang ada kaitan secara langsung dengan Tun.
“Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman dan memberi cadangan ke arah pemerkasaan mahkamah syariah dari konteks perundangan termasuk penambahbaikan undang-undang, institusi kehakiman, protokol, jawatan dan perancangan perkasa undang-undang, mahkamah syariah akan segera dilakukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Tun Dr Wan Junaidi serta Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Objektif kunjungan itu bagi memaklumkan perkembangan terkini berkenaan Mahkamah Syariah yang mana pelantikan hakim-hakim adalah di bawah bidang kuasa Tun Dr Wan Junaidi.
