SIBU: Pengamal media dan pelajar pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan harus menjadi agen dalam membantu Kerajaan Sarawak menyampaikan maklumat dan polisi kerajaan di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & Ukas) Datuk Abdullah Saidol berkata, ini penting agar Kerajaan Sarawak dapat mengetahui sejauh mana rakyat faham polisi yang dilaksanakan.
“Adakah mereka faham mengapa kita bercakap mengenai hidrogen, mengapa kita mahu mengambil alih bank atau syarikat penerbangan sedangkan masih banyak jalan dan jambatan belum dibina?.
“Kerajaan mahu menerangkan mengapa polisi-polisi tersebut dilaksanakan,” katanya semasa berucap pada Majlis Sungkei Bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), malam tadi.
Katanya, IPT dipelawa memohon latihan praktikal di jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak.
“Dengan menjalani latihan praktikal itu mereka akan dapat mengetahui fungsi jabatan dan agensi-agensi terbabit.
“Sekiranya berkaitan dengan media, mereka boleh menghantar permohonan kepada UKAS. Jika berkaitan bidang kejuruteraan, boleh memohon kepada JKR Sarawak atau Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak,” ujarnya.
Majlis dihadiri oleh pengamal media, pelajar-pelajar dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan), Kolej Laila Taib, Sarawak Maritime, Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Vokasional Sibu, Kolej Komuniti Sarikei, pelajar Tahfiz Darul Ullum dan Tahfiz Hidayatul Quran An-Nur.
