22 asnaf terima sumbangan bantuan UiTMCS

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak menyumbangkan barangan asas dan bantuan kewangan kepada golongan asnaf di Kampung Plaie, di sini, hari ini.

Seramai 22 asnaf menerima sumbangan bagi mengurangkan beban kewangan mereka sepanjang Ramadan ini.

Sumbangan disampaikan dalam program “Jalinan Kasih Asnaf Kampung Plaie, Kota Samarahan” anjuran bersama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dan Unit Jaringan Komuniti, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) universiti itu.

Ini merupakan sebahagian inisiatif University Community Responsibility (USR) UiTM yang bertujuan menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan di kampung terbabit.

Turut hadir ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa yang menjalankan fungsi Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa Mohamadin.