Program Dao’ Telo Pamat, Run 2025 ajak masyarakat hidup sihat

MATU: Klinik Kesihatan Tian menyambut ulang tahun ke-34 dengan penganjuran Program Dao’ Telo Pamat, Run 2025: “Nak Medut, Asal Sihat” dan Karnival Kesihatan yang berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Tian, semalam.

Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi semasa berucap menyifatkan usaha amat penting meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penjagaan kesihatan.

“Ia juga memberi peluang kepada komuniti untuk mendapatkan maklumat kesihatan secara langsung daripada pakar,” katanya.

Program ini dianjurkan menerusi kolaboratif Klinik Kesihatan Tian bersama Klinik Kesihatan Matu, Kuala Matu, Kuala Igan, Nanga Passin dan Rassau, dengan sokongan Pejabat Kesihatan Daerah Matu serta agensi komuniti seperti KOSPEN Jemoreng, Dapur Sihat dan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu.

Ia dimulakan dengan acara Fun Run yang mendapat sambutan luar biasa melibatkan kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Antara pengisian program sepanjang hari termasuk Karnival Kesihatan yang melibatkan Pameran Kesihatan, Saringan Kesihatan, Saringan Minda Sihat, Pameran Sains Pemakanan, Derma Darah, Karaoke terbuka dan pertandingan mewarna kanak-kanak serta cabutan bertuah.

Sebagai tanda keprihatinan sosial, program ini turut menyantuni 10 orang pesakit kanser dengan penyampaian sumbangan ikhlas bagi meringankan beban mereka serta menyuntik semangat agar terus cekal menghadapi cabaran penyakit.

Klinik Kesihatan Tian, yang telah memberikan perkhidmatan kepada komuniti selama lebih tiga dekad, bertekad untuk terus komited dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai program kesihatan bersifat inklusif, menyeluruh dan berimpak tinggi.