Program Jelajah Ramadan DUN 41 Kuala Rajang 2025 bermula hari ini

TANJUNG MANIS: Program Jelajah Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Kuala Rajang 2025 selama seminggu bermula di Kampung Bukit Kinyau di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, program dimulakan dengan solat Jumaat bersama masyarakat setempat.

Beliau turut menyerahkan cek bernilai RM3,000 daripada LAKIKR untuk aktiviti masjid di samping menyampaikan dana daripada Pusat Khidmat N41 serta sumbangan duit raya kepada 53 penerima. Mereka terdiri daripada orang asnaf, anak yatim piatu, ibu tunggal, golongan kurang upaya dan warga emas.

“Selain itu, program ini turut disertai dengan ceramah agama yang disampaikan Almukarram Ustaz Dato Mohamed Trang B. Issa,” katanya.

Len berkata, beliau bertemu penduduk dan menunaikan solat Asar di Masjid Al-Firdaus Tanjung Manis sebelum ke Majlis Berbuka Puasa, solat Maghrib, Isya dan Terawih di Masjid Kampung Rajang dan menyampaikan sumbangan serupa kepada seramai 339 penerima.

Menurutnya, Jelajah Ramadan minggu ini melibatkan beberapa fasa ziarah ke seluruh kawasan DUN Kuala Rajang iaitu Kampung Belawai, Jerijeh, Tanjung Manis, Kampung Rajang, Masjid Al-Muttaqin, Masjid Kampung Selalang, Ar Rahmah, dan Masjid Darul Saadah Taman Susur Jambu Sarikei.