Awang Tengah lawat STATOB di Brunei

BRUNEI: Sarawak mahu menjalin usahasama dengan negara Brunei dalam banyak sektor ekonomi dan tidak terhad kepada pelancongan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sektor ekonomi lain adalah seperti sektor tenaga dan pertanian komersial.

“Pertanian komersial termasuk penanaman padi, akuakultur dan penternakan lembu serta kerbau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat dan mendengar taklimat terkini STATOB Pejabat Sarawak Trade and Tourism Office Brunei (STATOB) di Bandar Sri Begawan di sini, semalam.

Sehubungan itu, Awang Tengah menekankan kepentingan pengurusan STATOB dalam merangka program yang efektif untuk mencapai matlamat penubuhannya.

STATOB dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tahun lalu. Ia bertujuan mengerat hubungan di antara Sarawak dan Brunei disamping melihat potensi perniagaan, pelancongan dan sosial yang dapat dilakukan bersama.

Turut hadir Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, (Mintred) Datuk Seri Naroden Majais, Setiausaha Tetap Mintred, Dzolkarnain Masron dan Ketua Pegawai Eksekutif STATOB, Samat Junai.