SARATOK: Kemudahan perhubungan penduduk luar bandar Saratok bakal melalui transformasi apabila projek pembinaan Jalan Kampung Kupang ke Simpang Bajau sedang dilaksana dan dijangka siap pada September 2027.
Majlis pecah tanah bagi projek sepanjang 19.8 kilometer (km), bernilai RM112.9 juta itu
disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi di Rumah Rengan Selambong, Saratok hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri lebih 1,000 penduduk tempatan.
Menurut Zahid Hamidi, pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan seimbang di seluruh negara, khususnya di luar bandar.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak merupakan kunci utama dalam merapatkan jurang pembangunan luar bandar.
“Projek seperti ini membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat di kawasan pedalaman,” katanya.
Apabila siap kelak katanya, jalan tersebut akan memudahkan perhubungan penduduk Kampung Kupang ke Pasar Saratok serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan akses terhadap kemudahan asas.
Projek berkenaan turut melibatkan pembinaan lima jambatan kecil dan beberapa simpang jalan ke rumah panjang sekitar, dan kini sedang berjalan lancar mengikut jadual.
Beliau turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan jambatan baharu dari Kampung Kupang ke Pasar Saratok yang dianggarkan bernilai RM122 juta.
Jambatan ini akan memendekkan perjalanan dari Kupang ke Saratok selain membawa limpahan pembangunan kepada kawasan sekitarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi; Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazrudin Abdul Rahman; Senator Pele Peter Tinggom; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; ADUN Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Beting Maro, Razaili Gapor dan ADUN Krian, Friday Belik.
