Projek SSLR fasa dua bakal ubah wajah Ulu Limbang

LIMBANG: Masyarakat di kawasan Ulu Limbang bakal menikmati akses jalan raya yang lebih selamat dan efisien apabila Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) fasa kedua yang sedang dilaksanakan siap kelak.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pembinaan jaringan jalan strategik seperti SSLR fasa kedua akan memberi impak l mengubah landskap kehidupan penduduk luar bandar.

“Projek itu merupakan antara projek infrastruktur berskala besar yang menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar dan bukti komitmen berterusan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke tapak projek SSLR Fasa di sini, semalam.

Tambahnya, kawasan pedalaman Ulu Limbang yang kaya dengan keindahan semula jadi serta warisan etnik berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan, sejajar dengan hala tuju pembangunan lestari negeri Sarawak.

Ahli Parlimen Limbang itu turut memaklumkan projek pembinaan Jalan Ulu Tubai ke Mentawai/Gunung Buda yang tertangguh sebelum ini juga akan diteruskan oleh kontraktor baharu.

Katanya, pembinaan jalan-jalan tersebut bukan sahaja bakal memudahkan pergerakan komuniti setempat tetapi juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan.