Promosi tarik minat pendidikan STEM dipergiat

KUCHING: Usaha dilakukan untuk mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga ADUN Bukit Saban berkata, ini berikutan permintaan semakin meningkat terhadap profesional teknikal dan perakaunan di negeri ini pada masa akan datang.

“Dengan Sarawak memasuki ekonomi baharu seperti ekonomi hidrogen, aeroangkasa, pembinaan lapangan terbang baharu, program Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, kita pasti memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkaitan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan insentif pengajian tahunan kepada 12 mahasiswa dan enam pelajar diploma dari kawasan berkenaan hari ini.

Sementara itu, beliau turut menasihati pelajar di kawasannya supaya terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

“Kami mempunyai beberapa orang yang merupakan pemegang Phd di sini juga.

“Jika mereka boleh berbuat demikian walaupun menghadapi banyak cabaran besar, saya pasti ramai di antara anda boleh mengikutinya,” katanya lagi.

Mengenai cadangan penubuhan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak bagi Bahagian Betong, Uggah bersyukur Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju.

Dalam pada itu, Uggah akan memberikan insentif serupa kepada pelajar di Spaoh pada Isnin.