KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memegang kepentingan majoriti dalam syarikat SACOFA Sdn Bhd yang memperluas liputan infrastruktur telekomunikasi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi sambil berkata, ini melalui syarikat pelaburan milik penuh Kerajaan Sarawak iaitu SFS Incorporated.
“Dengan pegangan melebihi 51 peratus, SACOFA kini merupakan agensi milik penuh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Bersama Agensi Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Majlis itu dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N8 Satok, Dato Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN N6 Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan tetamu kenamaan lain.
Julaihi berkata, ini akan membolehkan syarikat tersebut memainkan peranan lebih besar dalam memperluas liputan infrastruktur telekomunikasi terutamanya di luar bandar dan pedalaman.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, proses penggabungan tiga agensi utiliti bekalan air iaitu Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) kini di fasa akhir.
“Proses penyatuan ini kini hampir selesai dan dijangka dilancarkan secara rasmi menjelang Jun depan,” katanya.
Julaihi berkata, nama entiti baharu selepas penggabungan itu juga telah ditetapkan manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) belum terlibat dalam penyatuan tersebut buat masa ini.
