Sarawak, Airbus jalin kerjasama strategik sebagai hab aeroangkasa Asia Pasifik

TOULOUSE: Kerajaan Sarawak mengorak langkah dalam usaha membangunkan industri aeroangkasa negeri itu menerusi kerjasama strategik bersama syarikat penerbangan terkemuka dunia, Airbus.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hasil lawatan rasmi ke ibu pejabat Airbus membuka ruang kepada enam bidang utama yang dipersetujui untuk diteroka bersama ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab aeroangkasa baharu di rantau Asia Pasifik.

Menurutnya, antara bidang tersebut termasuk penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) dengan Sarawak kini giat menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan SAF seiring matlamat global mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Kedua, pembangunan modal insan dalam industri aeroangkasa dengan kerjasama antara Airbus dan institusi tempatan seperti ICATS akan diperluas bagi membangunkan program latihan serta silibus berkaitan aeroangkasa.

“Inisiatif ini bakal membuka peluang kepada pelajar Sarawak menjalani latihan industri bertaraf antarabangsa,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kampus Airbus dan Ibu pejabat ATR yang merupakan pengeluar pesawat turboprop terkemuka dunia pada Isnin waktu tempatan.

Premier Sarawak menambah, perkara ketiga yang dipersetujui ialah pembangunan ekosistem industri sokongan.

Jelas beliau, Sarawak juga akan meneroka potensi pembuatan bahan komposit dan kulit sintetik berasaskan gas untuk kegunaan industri penerbangan, selain teknologi avionik serta instrumentasi berkaitan cip pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Keempat pula ialah pendigitalan perjalanan dan perkhidmatan penerbangan dengan konsep ‘digital journey’ akan diperkenal.

“Ini bagi menyepadukan urusan perjalanan daripada tempahan tiket penerbangan, penggunaan sistem pengangkutan ART, hinggalah ke penginapan dalam satu pakej digital yang lancar,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Premier Sarawak menjelaskan, perkara kelima yang dipersetujui ialah penubuhan Pasukan Bersama Sarawak–Airbus bagi merangka pelan hala tuju pembangunan industri aeroangkasa Sarawak, melibatkan kepakaran daripada kedua-dua pihak.

“Satu pasukan akan dibentuk dari pihak kita, manakala Airbus turut akan membentuk pasukan sendiri. Langkah ini bertujuan mewujudkan gabungan tenaga kepakaran dalam industri melalui kerjasama dan perbincangan yang komprehensif antara pakar-pakar yang terlibat.

“Usaha ini dijangka dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan industri penerbangan, sekali gus membuka peluang baharu bagi kemajuan sektor ini di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Perkara keenam pula kata Premier Sarawak ialah melibatkan pembangunan Aerotropolis dalam usaha memperkukuh pembangunan industri penerbangan di negeri itu.

“Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan kawasan seluas 100 ekar sebagai tapak Aerotropolis sebuah hab bersepadu di mana semua bangunan yang dibina saling berkaitan, menjadikannya lebih efisien dan menyokong ekosistem industri penerbangan,” katanya.

Terdahulu, Premier Sarawak bersama delegasi mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat ATR yang merupakan pengeluar pesawat turboprop terkemuka dunia di Perancis.

Beliau bersama delegasi kemudian menghadiri perbincangan jaringan profesional di Airspace Customer Showroom, Agoahub yang dihoskan oleh Presiden Airbus International, Wouter van Wersch sebelum diteruskan dengan sesi lawatan menyeluruh ke ruang pameran pelanggan Airbus

Mengiringi rombongan Premier Sarawak ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga merupakan Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali serta Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar selaku Ahli Lembaga Pengarah AirBorneo, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS