TANJUNG MANIS: Mungkin generasi sekarang kurang mengenali lebih mendalam alat muzik tradisional yang dikenali gelinang.
Secara tradisi, alat muzik gelinang diguna untuk menyambut tetamu pada majlis keramaian dan perkahwinan untuk memeriahkan sesuatu majlis.
Malah, bunyi gelinang menjadi hiburan tat kala sunyi. Alat muzik ini dimainkan bukan dengan nota bertulis atau latihan rasmi, tetapi dengan rasa, telinga dan ingatan sebuah seni yang dihayati sepenuhnya melalui pengalaman.
Muzik tradisional Gelinang Melanau itu mempunyai pelbagai tempo yang perlahan dan rancak dialun dengan tenang, lantas mencipta suasana lembut dan harmoni.
Menyedari pentingnya memelihara warisan ini, Dayang Saamah Awang Ibrahim komited sebagai penyambung tradisi di Kampung Rajang, Belawai.
Lantas, demi mempertahankan seni gelinang, wanita berkenaan menubuhkan Kumpulan Gelinang Seni Warisan Kampung Rajang.
Meskipun bukan guru muzik terlatih, beliau mewarisi ilmu ini daripada orang tuanya lalu menubuhkan kumpulan seni tersebut.
Kumpulan berkenaan terdiri daripada lima ahli yang mahir memainkan gelinang, gong dan rabana yang menjadi nadi persembahan seni mereka.
Seorang lagi pemain utama yang merupakan tunjang kumpulan itu, Siti Ardzina Zemi menjadi penyambung warisan yang diwarisi daripada keluarganya.
Demi mempertahankannya, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh menyumbang set alat gelinang baharu.
Ini bagi menggantikan set alat itu yang usang dan sebagai tanda keprihatinan terhadap pemeliharaan warisan seni kampung ini.
Kumpulan itu aktif menerima jemputan menghidupkan suasana majlis seperti perkahwinan dan konvokesyen di Kuching, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri.
