Akaun EFS: 139,925 anak Sarawak dapat manfaat

KUCHING: Seramai 139,925 anak Sarawak yang dilahir dari 1 Januari 2019 hingga 31 Mac 2025 memiliki akaun Endowment Fund (EFS) dengan jumlah peruntukan RM139 juta daripada Kerajaan Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi tahun 2024, jumlah kelahiran (status ‘K’) adalah seramai 29,413 dengan permohonan EFS diterima 21,221 (72%), manakala pada 2025 (setakat 1 Mac), jumlahnya ialah seramai 6,780 dengan permohonan melalui Affin Bank 1,580 (23%).

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada November 2024, meluluskan Affin Bank Bhd untuk mengurus EFS 2.0 bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025, katanya pada mesyuarat jawatankuasa EFS di sini, hari ini.

Hadir sama timbalan beliau, Datuk Rosey Yunus.

Beliau menegaskan, permohonan bagi kelahiran bermula 1 Januari 2025 boleh dibuat di kesemua 49 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak yang berdekatan secara manual.

Mulai tahun ini, katanya, pelaksanaan EFS diperkukuh melalui kerjasama Affin Bank yang menguruskan dana menerusi dua akaun utama serta satu manfaat tambahan.

Manfaat tambahan itu ialah perlindungan insurans percuma untuk tahun pertama bagi ibu atau bapa (berumur antara 18 – 65) dengan jumlah perlindungan RM10,000, katanya.

Manfaat tambahan seterusnya ialah perlindungan untuk kematian atau kecacatan kekal akibat kemalangan dan disediakan secara automatik kepada pemohon yang membuka akaun EFS 2.0, tegas beliau.

Pada majlis itu, Fatimah menyerahkan EFS kepada tiga anak yang lahir pada 2025.