Sungai Bapak, Rejang dimasuk dalam program tanaman padi berkelompok

TANJUNG MANIS: Program tanaman padi secara berkelompok di Sungai Bapak, Rejang perlu dimasuk ke dalam program penanaman padi di seluruh Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Dato Len Talif Salleh berkata, kawasan tersebut berpotensi dikembangkan dalam program penanaman padi.

“Kita melihat dari segi perancangan masa panjang kerajaan negeri, beberapa kawasan dikenal pasti sebagai kawasan penanaman padi.

“Selepas lawatan Premier Sarawak ke kawasan ini Disember lalu, kita mahu kawasan ini dimasukkan ke dalam program penanaman padi seluruh Sarawak,”katanya ketika pada Program Skim Ujikaji Tanaman Padi Berkelompok di Sungai Bapak, Rejang, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu memberitahu, kawasan tersebut mempunyai kemudahan infrastruktur seperti ban dan sistem perparitan yang dimajukan sejak 50 tahun lalu.

“Setelah saya memperkenalkan kawasan ini kepada
Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi (Pengerusi Eksekutif Ta Ann Holdings Berhad) dan Dato K.H Wong (Ketua Pegawai Eksekutif Ta Ann Holdings Berhad), mereka tertar melihat kawasan ini.

“Sebab itu, setelah kita berbincang pada September tahun lalu, sebulan selepas itu mereka memeterai perjanjian dengan pemilik tanah kawasan ini,” katanya.

Beliau memberitahu, kawasan tersebut adalah satu-satunya penyelidikan dan pembangunan (RnD) penanaman padi.

“Kita tahu varieti padi ini banyak, kita membuat ujian penyelidikan varieti padi yang sesuai untuk ditanam di kawasan ini,” kata beliau.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Ta Ann Holdings Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi,
Ketua Pegawai Eksekutif Ta Ann Holdings Berhad, Dato K.H Wong, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Ting Lina @ Ding Lina.