KUCHING: Gelagat ‘Seduku’, Orang Utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh mencuit perhatian Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin semasa melawat pusat itu di sini, hari ini.
Ia hentian kedua Baginda Permaisuri selepas mengunjungi Majlis Perasmian Ekspo Kraf Borneo dan Persidangan Antarabangsa 2024 di Tebingan Kuching pagi tadi sempena lawatan tiga harinya di sini.
Baginda bersama rombongan meluangkan masa kira-kira satu jam di Pusat Hidupan Liar Semenggoh sebelum berangkat pulang.
Keberangkatan tiba Baginda pada jam 3.10 petang disambut isteri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Puan Sri Datin Amar Fatimah Mohamad Iskandar serta isteri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak II, Datin Melinda Claudia Bucking.
Kunjungan Baginda bersama rombongan dimulai dengan taklimat ringkas yang disampaikan Pengurus Wilayah Jabatan Hutan Sarawak (SFC) Bahagian Kuching Asyraff Julaihi Khan dan Warden Hutan Pusat Hidupan Liar Semenggoh Mohd Azizi Ahmad Zaini.
Program seterusnya diteruskan dengan penyampaian cendera kenangan kepada Tengku Permaisuri Norashikin daripada Aysraff Julaihi.
