KUCHING: Tempat Transit Gelandangan (TTG) di Kuching, Bintulu, dan Miri masih dalam proses pengubahsuaian dan pembinaan dan dijangka siap tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kemajuan pembinaan TTG Miri mencecah 74 peratus dan TTG Bintulu (87.16 peratus).
“TTG Kuching akan beroperasi pada Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mendedahkan Input TTG Kuching di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak di sini, hari ini.
Fatimah berkata, dalam ucapan Belanjawan 2025, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta bagi operasi TTG Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri.
Katanya, TTG merupakan projek yang dimulakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan pembiayaan daripada Kerajaan Sarawak.
Ia untuk komuniti gelandangan dan pihaknya berjaya mengoperasikan TTG di Bahagian Sibu.
“Ia bertujuan menyediakan kemudahan transit sementara, perkhidmatan sokongan, dan rujukan intervensi seperti saringan kesihatan, kaunseling, latihan, serta penyelesaian untuk isu sosial lain yang mereka hadapi,” tambahnya.
Selain itu, beliau mendedahkan berdasarkan data hasil operasi kes orang papa/gelandangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, isu gelandangan di Sarawak telah meningkat sebanyak 13.68 peratus pada 2024 berbanding 2023.
“Sebanyak 117 kes (orang papa/gelandangan) untuk 2023 dan 133 kes (2024),” tambahnya.
Menurutnya, bagi 2024 juga Bahagian Sibu mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 48 kes (36.09 peratus) manakala bagi bahagian Kuching, sebanyak 19 kes (14.29 peratus) telah direkod sepanjang operasi dilaksanakan.
