KUCHING : Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan berkunjung ke rumah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Prof. Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian hari ini.
Ketibaan Tun Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut Datuk Amar Dr. Sim dan isteri Datin Amar Enn Ong serta ahli keluarga mereka di kediaman beliau di Jalan Wan Abdul Rahman Kuching sekitar jam 1.30 petang.
Terdahulu, Tun Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut berkunjung ke rumah seorang ahli perniagaan terkemuka di Sarawak iaitu Datuk Sri Tay Chin Kin. Beliau dan isteri berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada 38 orang anak-anak yatim dari Kompleks Kebajikan Laila Taib (PERYATIM).
Mengiringi Tun dan Toh Puan semasa kunjungan adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh dan isteri, Datin Dorothy Sylvester Pungga serta Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan isteri, Datin Sri Datin Angelina Celestine Ujang di kediaman Datuk Sri Tay. – Astana Negeri Sarawak
