TYT, isteri dijangka hadiri Majlis Keman Kaul 27 April Ini

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dijangka menghadiri Majlis Keman Kaul pada 27 April ini di Mukah.

Ia dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian yang juga Presiden Persatuan Melanau dan Jawatankuasa Induk Kaul Mukah 2025, Abdul Yakub Arbi.

Sebelum itu, beliau bersama ahli-ahli Jawatankuasa Induk Kaul Mukah 2025 telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi di kediaman rasminya di Kasuma Resort hari ini.

Menurut Abdul Yakub, jemputan kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah adalah sebagai tanda penghormatan serta usaha memperkukuh penglibatan kepimpinan tertinggi negeri dalam pemeliharaan adat dan budaya masyarakat Melanau.

Pesta Kaul Mukah 2025 akan berlangsung dari 19 hingga 27 April di Pantai Kala Dana, Mukah dengan pelbagai acara kebudayaan seperti Perarakan Serahang, Pertandingan Tibou, pameran kebudayaan dan kraftangan serta persembahan tradisional.

Selain itu, pertemuan tersebut turut membincangkan usaha memperkasa budaya, pendidikan dan ekonomi di Mukah dengan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi memberikan pandangan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperkukuh pembangunan di kawasan tersebut.

Turut hadir ADUN Tellian Royston Valentine, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip.