KUCHING: Seramai 50 pelajar daripada tiga sekolah di sekitar Petra Jaya akan menyertai Kem Ihya Ramadan di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) di Telaga Air dekat sini selama dua hari bermula hari ini.
Program ini dikelolakan Pertubuhan kebajikan Sahabat Amal Care Cawangan Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen P.194 Petra Jaya, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), IKMAS dan Yayasan OBYU.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Care Cawangan Sarawak, Wan Lukmanhakim Wan Sajali memberitahu, program ini disertai pelajar Islam berusia antara 16 tahun hingga 18 tahun.
Katanya, program itu sebagai pengisian bulan Ramadan untuk remaja dengan pelbagai aktiviti penambahan ilmu dan motivasi diri.
Selain itu katanya, program ini juga untuk memberi motivasi kepada remaja Islam supaya terus kental rohani (moraliti) dan fizikal dalam mendepani pelbagai cabaran dan keperluan kehidupan semasa.
“Beberapa fasilitator akan menyampaikan ceramah berhubung motivasi diri dan membentuk institusi kekeluargaan Islam yang sebenar,” katanya.
Antaranya ialah Ketua Penolong Pengarah (Sektor Pendidikan Islam) Jabatan Pendidikan Negeri, Sarawak, Sulaiman Hasim dengan ceramah bertajuk “Pendidikan Islam Asas Pembentukan Akhlak Mulia Remaja,” Ketua Bahagian Kemajuan Keluarga Islam (Jabatan Agama Islam Sarawak), Jamaludin Taim “Tanggungjawab Remaja Membentuk Keluarga Harmoni” dan Wan Lukmanhakim “Remaja Cerminan Masa Depan”
Katanya, sehingga ini tiga sekolah iaitu SMK Matang Jaya, SMK Matang Hilir dan SMK Semerah Padi bersetuju menghantar pelajar.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusuf bakal merasmikan program tersebut pada Ahad.
