54 projek seliaan JPS Sarawak di Betong

KUCHING: Sebanyak 54 projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di bawah seliaan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Sarawak.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BDDA, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, projek ini membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM383.139 juta sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Ia sekali gus memberi manfaat kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar, Lingga, Beting Maro, Kalaka, Krian, Kabong, Bukit Saban dan Saribas.

Katanya, sebanyak 29 projek terbabit ialah untuk sektor pembangunan infrastruktur dengan peruntukan sebanyak RM246.219 juta manakala sebanyak 22 projek untuk sektor pembangunan Agro Pertanian dengan peruntukan sebanyak RM88.920 juta.

“Manakala, bagi sektor pembangunan pelancongan dan persekitaran, peruntukan berjumlah RM48 juta bagi melaksanakan tiga projek,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat sesi libat urus projek-projek di bawah BDDA bersama JPS Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata bagi DUN Kabong, sebanyak lapan projek pembangunan infrastruktur telah disenaraikan di bawah seliaan JPS membabitkan peruntukan sebanyak RM39.140 juta.

“Tujuh projek di peringkat perancangan dan satu projek siap sepenuhnya,” ujarnya.

Turut hadir ialah ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.