SCNet bukan untuk saingi kuasa Persekutuan

KUCHING: Sarawak tidak berniat untuk mengambil alih kuasa Persekutuan dalam soal keselamatan susulan pelancaran Sarawak Command Net (SCNet), platform komunikasi pintar berteknologi tinggi.

Sebaliknya menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, niat Sarawak hanya mahu melindungi negeri ini dengan cara sendiri.

“Kita bukan nak ambil alih kuasa persekutuan, tapi kita mahu bantu jaga negeri kita dengan cara kita sendiri, berdasarkan keperluan geografi dan realiti tempatan,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Sarawak Command Net (SCNet) sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-8 Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) di Hotel Waterfront di sini, malam tadi.

Menurutnya, dengan adanya teknologi canggih dan penyediaan menyeluruh dari segi kawalan keselamatan, ia sekali gus membantu menjaga keselamatan perairan Sarawak dengan membantu Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, SCNet akan membantu memperkukuhkan keupayaan operasi keselamatan dan penguatkuasaan di seluruh negeri.

Jelasnya, SCNet akan menjadi tulang belakang baharu dalam penyampaian maklumat dan tindakan bersepadu melibatkan pelbagai agensi keselamatan negeri.

“Teknologi dan komunikasi yang efektif adalah asas kepada sistem penguatkuasaan yang canggih dan berkesan.

“Untuk mencapai penyampaian yang efektif, kita perlu pendekatan yang sesuai dengan perubahan teknologi. SCNet adalah langkah penting ke arah itu,” katanya.